Kes Pelajar Maut Akibat Bilah Pisau Traktor Mesin Rumput, Pemandu Traktor Bebas Dengan Jaminan Polis

GEMAS – Pemandu traktor mesin potong rumput insiden kematian pelajar tingkatan dua yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata pemandu berusia 26 tahun berasal dari Tanjung Keling, Melaka, itu telah diambil kenyataan berhubung insiden berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi kes yang disiasat di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana kematian disebabkan kecuaian,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman (STAR) Gemas, Nur Afini Roslan, 14, maut selepas bilah mesin potong rumput terpelanting mengenai kepalanya.

Dua lagi pelajar, Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera di bahagian belakang kepala dan Abdullah Hazlan, 14, cedera pada bahagian telinga kanan.

Kedua-duanya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gemas bagi rawatan lanjut dan kemudiannya di hantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk dirawat.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *